Sunday 30 October 2011

Kelas WordPress di Subang Court 10 http://ezwebpress.info

Friday 7 October 2011

FDAM, SWAM apa sudah jadi?


Oleh Zainuri Misfar
zainuri@bharian.com.my
2011/10/06

GAFIM beri tunjuk sebab, keahlian IRIM digugurkan

PERSATUAN Sutradara Malaysia (FDAM) dan Persatuan Penulis Skrin Malaysia (SWAM) diberikan surat tunjuk sebab oleh Gabungan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) mengenai status Presiden sebagai ketua pemimpin. 

GAFIM memberi surat tunjuk sebab kepada SWAM meminta penjelasan siapa sebenarnya Presiden itu secara rasmi dan sah kerana ketika ini difahamkan persatuan itu mempunyai dua pemimpin.
Presiden SWAM ketika ini ialah Ismail Ahmad tetapi disebabkan pergolakan dalaman yang teruk menyebabkan ahli-ahli hilang kepercayaan kepadanya sehingga dia didesak melepaskan jawatan itu.

Jawatan Presiden dalam SWAM pula dipangku oleh timbalan Presidennya, Mathias Ali. Tapi masih tidak jelas adakah Ismail masih Presiden SWAM yang sah, atau persatuan ini sekarang dipimpin oleh Mathias.

Mengenai FDAM pula, GAFIM juga turut memberikan surat tunjuk sebab atau meminta penjelasan mengenai kedudukan Presidennya, Ahmad Ibrahim atau Mat London. Ini berikutan ada ura-ura mengatakan Ahmad diisytiharkan muflis dan mengikut perlembagaan dia tidak lagi layak untuk memikul tanggungjawab sebagai Presiden.

FDAM, persatuan yang ditubuhkan pada tahun 1990 berperanan memayungi kepentingan pengarah filem dan drama, manakala SWAM yang ditubuhkan pada 1996 memperjuangkan hak penulis skrip untuk filem, kandungan program TV dan radio.
Dalam pada itu, persatuan yang mewakili kepentingan pemuzik masyarakat India tempatan, Persatuan Industri Muzik India Malaysia (IRIM) digugurkan menjadi ahli gabungan dalam GAFIM selepas persatuan ini gagal memberikan jawapan atau maklum balas mengenai status terkini mereka.

Sebagai usaha untuk meningkatkan imej dan integriti, semua persatuan dalam GAFIM juga diminta menghantar maklumat terkini masing-masing merangkumi laporan kewangan, laporan mesyuarat agung dan juga laporan aktiviti persatuan.

Presiden GAFIM, Ahmad Jurey Rosli Latiff berkata, tempoh dua minggu diberikan kepada semua persatuan untuk mengemukakan laporan persatuan masing-masing dalam usaha untuk mengemaskini kedudukan dan perkembangan setiap ahli gabungan ini.

"Dua minggu juga diberikan kepada FDAM dan SWAM untuk menjawab atau menjelaskan kedudukan sebenar surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh GAFIM. Kepada SWAM, kita juga memberikan surat tunjuk sebab kepada dua presiden yang masing-masing dikatakan pemimpin persatuan itu.

"Daripada penjelasan itulah nanti, baru GAFIM putuskan apa tindakan selanjutnya. Begitu juga dengan FDAM.

"Secara keseluruhannya, GAFIM tidak akan mencampuri urusan dalaman setiap persatuan. Itu adalah dasar GAFIM. Apa pun masalah yang berlaku, biarlah ahli jawatankuasa atau ahli-ahlinya yang menyelesaikannya," katanya kepada HIP.

Beliau berkata demikian sebagai susulan kolum Fragmen bertajuk Akibat nila setitik dalam persatuan hiburan yang disiarkan dalam akhbar ini pada 3 Oktober lalu.

Kolum itu mempersoalkan kedudukan dan imej beberapa pemimpin persatuan hiburan dengan menyebut SWAM dan FDAM yang agak kucar kacir dengan status Presiden menjadi tanda tanya. Ini termasuklah dakwaan dari kalangan ahli persatuan itu sendiri mengenai salah laku pengurusan dan kedudukan kewangan oleh Presiden selain kemampuan Presiden dalam mentadbir serta merencanakan aktiviti persatuan.

Jurey berkata, artikel dalam kolum itu memberi impak yang besar kerana ia mempersoalkan kewibawaan atau kredibiliti, integriti dan imej kepada semua pemimpin persatuan industri hiburan.

“Adalah menjadi tanggungjawab saya selaku Presiden untuk meminta semua ahli gabungan mengemas kini persatuan masing-masing yang membabitkan laporan kewangan, aktiviti, urusan pentadbiran dan pengurusan.

“Tidak ada pengecualian sama ada persatuan itu sudah lama ditubuhkan atau baru. Apa yang saya lakukan ini adalah demi menjaga integriti, maruah dan imej persatuan serta mereka yang terbabit dalam industri hiburan secara keseluruhannya,” katanya.

Biar sikit tapi berkualiti

GAFIM tidak teragak-agak untuk membuat tindakan berani dan mungkin kurang popular iaitu menggugurkan mana-mana persatuan yang dianggap mempunyai masalah daripada menjadi ahli gabungannya.

Gabungan itu sebelum ini dianggotai 12 persatuan iaitu Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA), FDAM, Persatuan Penerbit Program TV Malaysia (PTVM), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), SWAM, Persatuan Penyiar Kebangsaan Malaysia (PENYIAR), Persatuan Kebajikan Penghibur-Penghibur India Malaysia (MIEWA), Persatuan Artis Cina Malaysia (AMCA) dan Persatuan Industri Rakaman India Malaysia (IRIM).

Bagaimanapun pada Julai lalu, PFM menarik diri daripada GAFIM, manakala dalam perkembangan terbaru, IRIM pula digugurkan daripada menjadi ahli gabungan.

“Apalah ertinya kalau ada ahli ramai tetapi tidak ada intergriti. Biarlah keanggotaan GAFIM sedikit tetapi setiap persatuan mempunyai kewibawaan berintegriti.

“Saya berpendapat itu lagi penting. Sebagai Presiden, saya mahu mengangkat GAFIM dan semua anggota gabungannya memiliki imej, maruah dan dipandang tinggi serta dihormati oleh seluruh masyarakat, daripada kerajaan, media dan kalangan artis itu sendiri,” kata Jurey yang juga Presiden PTVM.

INFO
·  Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia atau ringkasnya GAFIM ditubuhkan pada 11 September 1985 dan didaftarkan secara rasminya sebagai satu pertubuhan di bawah Seksyen & Akta Pertubuhan 1966 pada 14 Oktober 1987.
·  Antara pengasas GAFIM adalah Tan Sri Jins Samsudin, Norshah Tamby, Datuk Ahmad Daud (Allahyarham) dan Datuk A. Rahamn Hassan.
·  Presiden GAFIM yang pertama adalah Jins Shamsudin, manakala Setiausahanya Norshah Thamby.