Sunday 12 June 2011

Karyaku Dana Jantungku



Setiap karya yang dihasilkan oleh setiap karyawan pastinya mahu mendapat liputan sebagai bacaan atau tontonan umum. Sama ada ia diterbitkan sebagai rencana akhbar, majalah, siaran TV atau filem cereka waima sebagai buku atau novel.

Maka begitulah apa yang terjadi pada satu manuskrip yang telah aku garapkan. Penghasilan awal manuskrip itu yang bertajuk ‘Litar Bara’ bermula selepas perbincangan awal dengan Ketua Editor bahagian novel di CESB pada awal tahun 1991 lagi.

Kebetulan ketika itu aku bertugas sebagai penyelaras majalah kereta/motor bertajuk ‘Sensasi’ di pejabat yang sama. Maka dengan sebuah mesin taip buruk kepunyaan Tuan Haji Zainal Buang, aku mula merangkak menggarap manuskrip itu dan selesai sepenuhnya pada akhir tahun 1993. Kira-kira dekat 3 tahun juga mengambil masa untuk disiapkan.

Ceritanya berkisarkan skandal seorang pelumba kereta yang terlibat dengan ramai wanita. Akhirnya dia jatuh cinta pada salah seorang wanita tersebut tanpa menyedari bahawa wanita itu sebenarnya isteri orang.

Pada bulan November 1993, aku tunjukkan manuskrip yang setebal 3 inci itu kepada seorang penulis novel terkenal minta nasihat dan pandangannya. Sebaik beliau belek dan baca takat mukasurat tiga aje...beliau berkeras mahu aku serahkan untuk diterbitkannya di bawah syarikat penerbitannya.

Aku sungguh merasa syukur kerana usaha aku selama 3 tahun membuahkan hasil yang pantas. Tak sia-sia malam-malam bersengkang mata menaip dengan dua batang jari bagaikan ayam patuk padi.

Pada bulan April 1994, aku terima surat rasmi daripada syarikatnya mengatakan manuskrip itu dalam proses editing dan akan diterbitkan secepat mungkin. Tapi tunggu hingga akhir tahun, tak juga ada khabar berita. Lebih menyedihkan lagi dua bulan kemudian terima panggilan telefon daripada editor di syarikat itu minta aku datang ambil manuskrip tersebut seberapa segera kerana syarikat penerbitan itu disitar oleh pihak mahkamah.

Pada awal tahun 1995, aku berbincang dengan Pembantu Editor di CESB. Beliau bersetuju terima manuskrip itu untuk diterbitkan di bawah CESB. Tetapi aku terpaksa bertegas minta manuskrip itu jangan diedit oleh wanita kerana ceritanya agak menyentuh sensitivity kaum wanita.

Pada akhir tahun 1996, Tuan Haji Zainal Buang menyerahkan kembali manuskrip itu bersama sekeping surat layang daripada pembantu editor CESB menyatakan manuskrip itu tidak layak diterbitkan kerana ia berbaur unsur-unsur seks dan merendahkan mertabat wanita.

Aku katakan surat itu sebagai ‘surat layang’ kerana ia ditaip atas sekeping kertas A4 kosong tanpa nama dan tandatangan. Apabila membacanya terasa seolah termakan cili pedas yang amat pedas. Tapi hairannya, kalau sanggup menulis begitu panjang lebar, kenapa beliau tidak sanggup pamerkan identitinya!

Kemudian ZBH yang sudah keluar dari CESB berjanji akan meneribitkan novel daripada manuskrip itu di bawah syarikatnya yang baru ditubuh. Cuma beliau minta aku siapkan typesettting ke atas manuskrip itu.

Lalu aku minta bantuan seorang anak buah lakukannya dan siap sepenuhnya pada hari Selasa 26hb Mei 1998. Punyalah lama buat typesetting! Maklumlah minta tolong free...tanpa apa-apa bayaran!

Pada hari Jumaat 29hb Mei 1998 aku hantar manuskrip yang dah siap type setting itu kepada ZBH. Pada hari yang sama juga ZHB panggil printer datang ke pejabatnya dan serahkan manuskrip itu kepada printer depan aku sendiri. Punya seronok rasa hati kerana akhirnya novel itu akan keluar juga.

Tetapi pada hari Jumaat 17hb Julai 1998, ZBH memberitahu aku bahawa beliau menghadapi masalah untuk membayar kos filem sebanyak RM1,800/- kerana kewangannya tengah tenat. Kalau aku boleh bayar dulu kos itu, beliau akan minta printer cetak dulu novel tanpa deposit.

Aku sendiri pada pada masa itu baru diberhentikan kerja, mana nak cekau duit sebanyak itu! Maka tergantunglah manuskrip itu buat seketika. Sehinggalah pada tahun 2001, ZBH menyampaikan berita gembira bahawa manuskrip itu sedang dicetak sebanyak 40 ribu oleh seorang sahabatnya yang ada syarikat percetakan sendiri.

Tunggu punya tunggu...tak keluar juga!! Kemudian dengar cerita sahabat ZBH terpaksa hentikan dulu pencetak manuskrip yang sudah hampir siap atas alasan abang sahabatnya perlu lakukan pencetakan penting projek BN.

Bila siap projek itu, cetakan akan disambungkan semula. Tetapi apabila nak disambungkan semula, cetakan dulu dah musnah dan ada yang hilang.
Aku terpaksa terima hakikatnya lalu aku diamkan diri dan dah naik malas nak buat apa-apa lagi!! Lagipun dah masuk 10 tahun manuskrip ‘Litar Bara’ masih gagal juga diterbitkan. Banyak sangat halangan dan masalah yang timbul.

Kadang terfikir juga apakah tajuknya yang jadi penyebab. Kata orang ada tajuk atau nama yang kita gunakan tidak sesuai maka akan tempuh dugaan dan cabaran yang boleh jadi penghalang. Senang kata kalau ikut kepercayaan orang-orang Cina...fungshui. Maka aku ambil keputusan tukarkan kepada tajuk ‘Bara Esplanade’. Manalah tau...kot-kot ada ong!!      

Sehingga pada tahun 2008, aku berkenalan dengan seorang penerbit novel wanita dari Terengganu dalam MyBlogLog. Kami bertukar nombor hanfon dan kelangsungan dari situ beliau minta aku emelkan padanya manuskrip itu. Ini mungkin petanda daripada penukaran tajuk itu, agaknya!

Pada bulan April 2009, aku terima emel daripada penerbit itu. Berikut inilah emel beliau yang aku copy paste kat sini, tanpa diedit.

salam, encik sophian, buku encik sudah saya daftarkan dan sy dah pon terima ISBN buku tersebut utk diterbitkan. sekadar utk makluman encik;
1. Bara Esplanade - ISBN 978-983-44591-2-3

baiklah, seterusnya, saya harap encik dpt bersabar kerana buat masa ini modal sy hanya terhad utk cetak buku yg sudah dihantar sebelum encik. sy  akan uruskan hal percetakan buku encik pula selepas aliran modal sy berjalan.

sekian. terima kasih.      

Bukan setakat dapat ISBN sahaja, bahkan beliau sudah sediakan cover untuk novel itu. Sebenarnya cover yang aku gunakan ini...itulah cover yang telah disediakan oleh beliau. (Kalau perlu, aku akan bayar balik pada beliau untuk kos cover ini).

Tetapi sehingga kini, dah lebih 2 tahun...masih tidak ada apa-apa berita lagi. Aku sendiripun naik bingung!

Dalam pada itu, lima bulan lalu ada juga aku mencuba nasib hantar manuskrip ini kepada satu penerbit novel kat facebook. Beliau ada acknowledge dah terima manuskrip itu, tetapi sehingga kini semuanya senyap sunyi...!!!

Kebetulan dalam saat genting di mana diri aku sedang hadapi komplikasi jantung yang sudah 4 kali menghadapi serangan secara tiba-tiba dan akan mula jalani rawatan di IJN pada minggu depan, maka aku dah format manuskrip ini kepada pdf dan akan jual sebagai e-novel dalam blog ini.

Sebenarnya adik kesayangan aku sudah beri kesanggupannya untuk  biayai kos rawatan itu. Namun untuk tidak membebankan beliau, aku berhasrat dengan jualan e-novel ‘Bara Esplanade’ ini dapat menampung kos rawatan itu.

Maka untuk tempoh terhad, e-novel ‘BARA ESPLANADE’ setebal 366  mukasurat itu akan dijual melalui blog ini pada harga RM25.00 satu naskhah.

Kepada kawan-kawan yang berminat untuk tahu lebih lanjut jalan cerita novel itu atau sekadar ini membantu seorang hamba Allah membiayai kos rawatan itu, silalah buat pembayaran kepada MOHAMAD RUSLI BIN ZAHID SAFIAN di akaun AMBANK 066-002-009802-7 sebanyak RM25.00 dan maklumkan kepada saya untuk penghantaran link e-novel itu.

1 comment:

  1. Assalamualaikum, uncle!

    sedihnya baca. harapnya Allah akan permudahkan segala urusan uncle. setiap apa yang berlaku tu, ada hikmahnya, kan? :)

    ReplyDelete